Skip to main content
Pilihan Kelas - Selected ClassesClose Cart

Bagi yang baru ingin menceburi bidang pekerjaan atau perniagaan dalam sektor makanan, mungkin pertama kalinya mengetahui terdapat Kursus Pengendali Makanan yang wajib dihadiri sebelum boleh bermula. Sebelum membuat pilihan untuk menghadiri kursus ini, pastinya anda ingin memahami dahulu apakah kursus ini. Penulisan ini akan membantu anda untuk memahami pelbagai perkara berkaitan Kursus Pengendali Makanan melalui format Soalan dan Jawapan.

Kami berharap penulisan ini dapat memberikan anda kefahaman yang baik berkaitan Kursus Pengendali Makanan dan memberikan anda persediaan yang mencukupi untuk menjalani kursus ini. Jika anda telah bersedia untuk menjalani Kursus Pengendali Makanan, syarikat kami EduFood Training & Consultancy juga menganjurkan kursus ini secara Online seperti yang ditunjukkan dalam gambar di bawah dan juga Onsite / In-House di seluruh negara Malaysia. Hanya perlu klik butang merah di bahagian bawah kiri skrin untuk mendaftar atau memohon sebutharga.

Apakah Kursus Pengendali Makanan?

Kursus ini memberi latihan asas kebersihan dan keselamatan makanan dalam aktiviti pengendalian makanan untuk tujuan jualan atau komersil. Kursus ini wajib diambil oleh setiap Pengendali Makanan menurut Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan (PPKM) 2009.

Siapakah Pengendali Makanan?

Bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan (PPKM) 2009, Pengendali Makanan termasuk mana-mana individu yang:- 
(a) Terlibat secara langsung dalam penyediaan makanan; 
(b) Menyentuh makanan atau permukaan yang menyentuh makanan; dan 
(c) Mengendalikan makanan yang berbungkus atau tidak dibungkus, atau perkakas; dalam mana-mana Premis Makanan.

Secara ringkasnya, ini adalah individu yang terlibat secara langsung dengan aktiviti penyediaan dan pengendalian makanan untuk tujuan jualan seperti tukang masak, pembantu dapur, pelayan restoran, peniaga makanan, dan sebagainya.

Apakah Premis Makanan?

Bawah Akta Makanan 1983, “Premis Makanan digunakan atau berkaitan dengan penyediaan, pengawetan, pembungkusan, penyimpanan, pengiriman, pengedaran atau penjualan apa-apa makanan, atau pelabelan semula, pemprosesan semula atau pembaikan semula apa-apa makanan.”

Maka, rumah / home-based, gerai, penjaja, kedai makan, restoran, kilang, kantin, dewan makan, dan lain-lain premis di mana ada aktiviti pengendalian makanan untuk tujuan jualan atau diberikan kepada orang ramai, lokasi tersebut akan memenuhi definisi Premis Makanan. Setiap individu yang mengendalikan makanan di premis tersebut perlu menghadiri Kursus Pengendali Makanan untuk memenuhi keperluan bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan (PPKM) 2009.

Saya membuat pendapatan sampingan dengan menghasilkan dan menjual makanan seperti kuih dan kek dari rumah. Adakah saya perlu menghadiri Kursus Pengendali Makanan?

Ya, anda perlu hadir Kursus Pengendali Makanan jika aktiviti yang dibuat melibatkan pembuatan atau pemprosesan makanan untuk tujuan jualan.

Adakah semua orang yang mengendali makanan perlu menghadiri Kursus Pengendali Makanan?

Tidak jika mengendali makanan bukan untuk jualan dan bukan untuk diberikan kepada orang ramai. Terdapat juga pekerjaan yang secara teknikalnya melibatkan pengendalian bahan makanan tetapi tidak diwajibkan untuk menghadiri kursus ini. Kami galakkan anda untuk menghubungi pihak Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mengesahkan keperluan menghadiri kursus ini bagi jenis perniagaan anda.

Adakah Kursus Pengendali Makanan terbuka kepada semua?

Ya, kursus ini boleh disertai oleh sesiapa sahaja tidak kira sama ada warganegara ataupun bukan warganegara Malaysia. Jika tidak berniat untuk bekerja sebagai Pengendali Makanan sekalipun boleh sertai kursus ini. Had umur juga tiada asalkan peserta boleh memahami sepenuhnya perkara-perkara yang disampaikan sewaktu kursus.

Siapa yang boleh menganjurkan Kursus Pengendali Makanan?

Kursus ini hanya boleh dianjurkan oleh Sekolah Latihan Pengendali Makanan (SLPM) yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). EduFood Training & Consultancy adalah salah satu SLPM yang diiktiraf KKM seperti yang boleh dilihat dalam gambar di bawah.

Kursus Pengendali Makanan boleh diberikan dalam bahasa apa?

Kursus ini boleh diberikan dalam apa-apa bahasa yang difahami oleh peserta. Kami di EduFood boleh menganjurkan kursus dalam Bahasa Malaysia, Inggeris dan Cina. Jika kursus perlu diberikan dalam bahasa yang tidak ditutur oleh pelatih-pelatih, kursus juga boleh diberikan bersama penterjemah bahasa tersebut.

Apa yang boleh terjadi jika Pengendali Makanan tidak menghadiri Kursus Pengendali Makanan?

Adalah salah di sisi undang-undang jika terdapat Pengendali Makanan di Premis Makanan yang tidak menghadiri kursus wajib ini. Individu yang bersalah boleh didenda sehingga RM10,000 atau dipenjara tidak lebih 2 tahun atau kedua-duanya sekali. Premis makanan juga boleh diarah tutup dan hanya boleh kembali beroperasi setelah semua Pengendali Makanan mendapat Sijil Pengendali Makanan.

Bagaimana boleh saya menghadiri Kursus Pengendali Makanan?

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun 2020, KKM telah membenarkan kursus ini dijalankan secara Online melalui komputer atau telefon bimbit. Ini bermaksud anda boleh menghadiri kursus ini di mana-mana lokasi yang mempunyai sambungan internet yang baik. Klik di sini untuk mendaftar Kursus Pengendali Makanan Online EduFood.

Apakah yang diperlukan untuk menjalani Kursus Pengendali Makanan secara Online?

Untuk menyertai kursus secara Online anda hanya perlukan sambungan internet yang baik dan smartphone bersesuaian tetapi digalakkan menggunakan komputer seperti laptop bersesuaian supaya dapat lihat kandungan kursus dengan lebih jelas. Terdapat dua aplikasi yang anda perlukan untuk menjalani kursus Online EduFood iaitu WhatsApp dan ZOOM. Kami akan menghubungi peserta melalui WhatsApp dan kursus akan dijalankan melalui ZOOM. Sebarang nota yang diperlukan akan diberikan dalam format fail PDF.

Adakah terdapat tataetika tertentu untuk Kursus Pengendali Makanan secara Online?

Ya, KKM telah menetapkan beberapa peraturan untuk kursus Online bagi memastikan peserta memberi sepenuh perhatian sewaktu kursus antaranya adalah peserta perlu sentiasa menunjukkan muka melalui kamera sepanjang kursus. Jika peserta tidak mengikuti tataetika yang ditetapkan, peserta tersebut boleh dikeluarkan dari kelas Online dan tidak akan mendapat sijil. Senarai tataetika jika anda menghadiri Kursus Pengendali Makanan Online yang dianjurkan EduFood adalah seperti di bawah.

Adakah Kursus Pengendali Makanan boleh dijalankan secara fizikal atau bersemuka?

Ya, kursus ini boleh dijalankan secara fizikal atau bersemuka contohnya di premis anda atau Onsite / In-House, dan kami juga boleh menganjurkan kursus ini di seluruh negara Malaysia. Perabot yang terdapat di restoran seperti meja dan kerusi boleh digunakan untuk kursus seperti yang boleh dilihat dalam gambar di bawah. Klik di sini untuk mendapatkan sebutharga Kursus Pengendali Makanan Onsite EduFood.

Apakah yang perlu disediakan bagi Kursus Pengendali Makanan di premis?

Pihak pemilik premis perlu menyediakan tempat yang kondusif untuk menjalankan kursus seperti mempunyai kerusi dan meja, ruang yang mencukupi, selesa, dan mempunyai sambungan tenaga elektrik untuk kegunaan pelatih. Perkara-perkara yang diperlukan untuk memberikan kursus seperti projektor dan yang berkaitan biasanya akan disediakan oleh pelatih.

Berapakah had peserta bagi satu sesi Kursus Pengendali Makanan?

20 peserta bagi kursus Online dan 30 peserta bagi kursus Onsite / In-House.

Apakah maklumat yang perlu diberikan untuk menjalani Kursus Pengendali Makanan?

Peserta kursus perlu sekurang-kurangya memberikan nama penuh, nombor kad pengenalan atau nombor passport, alamat, nombor telefon, dan jenis Premis Makanan bagi membolehkan pihak Sekolah Latihan Pengendali Makanan (SLPM) mendaftarkan peserta di dalam sistem KKM dan menjana Sijil Pengendali Makanan. Selain daripada itu, maklumat lain yang biasanya akan diminta oleh pihak SLPM seperti EduFood adalah maklumat individu yang perlu dihubungi (Person In Charge), nama dan alamat syarikat, dan alamat untuk penghantaran sijil bagi kursus Online.

Adakah individu bukan warganegara Malaysia perlu menyediakan dokumen khas untuk menyertai Kursus Pengendali Makanan?

Tidak ada sebarang dokumen khas yang diperlukan daripada individu bukan warganegara Malaysia untuk menyertai kursus ini.

Berapakah harga atau bayaran Kursus Pengendali Makanan?

Harga kursus ini telah ditetapkan oleh KKM pada RM50 seorang. Kos-kos tambahan seperti fi pembayaran Online atau cas penghantaran boleh ditambah ke atas amaun ini tetapi kami di EduFood menyerap kos-kos tambahan ini bagi kursus Online. Kami menawarkan penghantaran sijil melalui kurier GDEX bagi yang ingin mendapat sijil fizikal dengan lebih cepat dan cuma perkara ini sahaja yang memerlukan bayaran tambahan.

Adakah terdapat Kursus Pengendali Makanan percuma?

Tidak, disebabkan terdapat pelbagai kos yang terlibat dalam menganjurkan kursus ini serta pensijilan, tiada Sekolah Latihan Pengendali Makanan (SLPM) yang menawarkan kursus ini secara percuma. Namun, Sijil Pengendali Makanan adalah sah seumur hidup maka anda hanya perlu hadir kursus ini sekali sahaja seumur hidup. Bagi syarikat yang mendaftar dengan HRDC, anda boleh menuntut dana HRDC untuk kursus-kursus yang EduFood tawarkan termasuklah Kursus Pengendali Makanan.

Adakah Kursus Pengendali Makanan HRDC-Claimable?

Ya jika Sekolah Latihan Pengendali Makanan (SLPM) adalah Penyedia Latihan Berdaftar HRD Corp seperti EduFood Training & Consultancy yang boleh dilihat di bawah.

Berapa lama tempoh Kursus Pengendali Makanan?

Kursus ini mengambil masa selama 3 jam sahaja. Untuk mendapat Sijil Pengendali Makanan, peserta harus menghadiri kursus sekurang-kurangya selama 3 jam. Ini bermaksud jika terdapat peserta terlewat menghadiri kursus, penganjur kursus perlu menambahkan waktu kursus bagi peserta tersebut bagi mencukupi tempoh waktu yang ditetapkan dan modul kursus yang masih belum oleh diterima oleh peserta tersebut akan diulangi lagi sekali. Bagi kursus HDRC-Claimable terdapat tambahan 1 jam.

Adakah saya akan menerima sijil setelah menjalani Kursus Pengendali Makanan?

Ya, anda akan menerima Sijil Pengendali Makanan yang diiktiraf KKM sebagai bukti telah menghadiri kursus ini. Sijil ini juga diiktiraf oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seperti Majlis Perbandaran dan Dewan Bandaraya.

Berapa lama tempoh sahlaku Sijil Pengendali Makanan?

Sijil Pengendali Makanan adalah sah untuk seumur hidup dan juga sah di mana-mana Premis Makanan.

Adakah saya boleh dapatkan Sijil Kursus Pengendali Makanan dengan segera?

Ya, gambar sijil PDF akan dihantar ke WhatsApp peserta dalam masa beberapa jam setelah kursus Online tamat, dan boleh print buat sebagai salinan/fotostat bagi sijil sebenar, untuk urusan Majlis, Lesen, aplikasi kerja, dan lain-lain. Rupa contoh sijil digital adalah seperti di bawah.

Adakah Sijil Pengendali Makanan yang diberikan dilaminat?

Pihak Sekolah Latihan Pengendali Makanan (SLPM) tidak wajib melaminat sijil tetapi kami di EduFood melaminat sijil tanpa sebarang kos tambahan bagi peserta Kursus Pengendali Makanan Online. Ini memastikan sijil tahan lama serta lasak dan mudah dibersihkan jika terkotor.

Kenapa Sijil Pengendali Makanan yang saya terima melalui penghantaran dilipat?

Kami di EduFood mengambil langkah-langkah untuk memastikan sijil diterima dalam keadaan yang baik antaranya adalah ia tidak dilipat. Salah satu sebab sijil dilaminat adalah untuk menjadikannya lebih teguh sewaktu penghantaran dan tidak mudah untuk terlipat atau terbengkok tanpa sengaja. Kami juga meletakkan notis atas sampul sijil yang menyatakan ‘JANGAN LIPAT’. Walaupun begitu, kadangkala pihak pos atau kurier melipatkan sampul dengan sebab untuk muat masukkan ia ke dalam peti surat yang kecil.

Saya masih lagi tidak menerima Sijil Pengendali Makanan fizikal setelah lama menunggu?

Menurut pengalaman kami, terdapat dua sebab utama kenapa sampul sijil tidak sampai walaupun telah dihantar. Salah satunya adalah alamat penghantaran yang diberikan tidak betul maka sampul sijil yang dihantarkan tidak sampai ke alamat yang betul ataupun dikembalikan semula jika alamat yang diberikan tidak wujud. Keduanya, tidak menjawab panggilan dari kurier dan sampul sijll juga mungkin dikembalikan dalam situasi ini. Oleh itu, sila pastikan alamat penghantaran yang diberikan sewaktu pendaftaran adalah betul. Jika anda ada menghadiri kursus EduFood dan telah lama menunggu untuk sampul sijil sampai, sila hubungi kami.

Sijil Pengendali Makanan saya telah hilang, apa boleh saya buat?

Salinan sijil boleh digunakan jika terdapat pemeriksaan dari pihak KKM atau anda ingin membuat sebarang urusan yang memerlukan sijil tetapi pihak berkuasa berhak untuk meminta sijil asal. Untuk mendapat sijil asal yang baru, anda boleh cuba menghubungi Sekolah Latihan Pengendali Makanan (SLPM) yang menganjurkan kursus yang anda sertai dan SLPM tersebut mungkin boleh mencetak semula sijil anda dengan bayaran tertentu. EduFood menawarkan servis pencetakan semula sijil bagi peserta yang pernah menghadiri Kursus Pengendali Makanan kami pada harga RM25 untuk setiap sijil. Satu cara lagi untuk mendapat sijil adalah dengan menghadiri lagi sekali Kursus Pengendali Makanan.

Sila klik di sini jika anda pernah menghadiri Kursus Pengendali Makanan EduFood dan anda ingin mencetak semula sijil yang telah hilang.

Adakah boleh saya mendapat sijil tanpa menghadiri Kursus Pengendali Makanan?

Tidak, perkara ini jelas melanggar undang-undang yang telah ditetapkan. Kami di EduFood hanya akan memberikan sijil kepada individu yang telah lengkap menjalani kursus yang kami anjurkan dengan penyertaan yang memenuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh KKM.

Adakah terdapat kewajiban lain selain daripada menghadiri Kursus Pengendali Makanan?

Ya, Pengendali Makanan juga wajib mendapatkan vaksin Anti-Tifoid setiap 3 tahun. Ianya bertujuan untuk mengelakkan jangkitan demam kepialu atau tifoid yang disebabkan oleh bakteria Salmonella typhi. Penyakit ini adalah amat mudah untuk berjangkit dan boleh menyebabkan kematian maka adalah amat penting untuk setiap Pengendali Makanan mengambil berat perkara ini.

Bagaimana untuk dapatkan vaksin Anti-Tifoid?

Terdapat dua cara untuk mendapatkan vaksin Anti-Tifoid iaitu melalui suntikan dan oral. Vaksin ini ditawarkan di klinik-klinik swasta dengan julat harga biasanya RM50-100 seorang. Jika anda mendapatkan kursus Onsite / In-House bersama EduFood, kami juga boleh menguruskan pemvaksinan di lokasi kursus. Setelah lengkap pemvaksinan, Pengendali Makanan akan menerima Kad Suntikan Vaksin Anti-Tifoid atau dikenali juga dengan nama Kad Pengendali Makanan sebagai bukti pemvaksinan.

Nadzirah Salehuddin

Author Nadzirah Salehuddin

More posts by Nadzirah Salehuddin
DAFTAR / SEBUTHARGA REGISTER / QUOTATION